Penyakit Kencing Tikus boleh Ancam Para Sukarelawan Banjir

image

Kes Penyakit Kencing Tikus (Leptospirosis) meningkat secara mendadak sebaik sahaja banjir yang melanda negara terutama Kelantan, Terengganu dan Pahang. Kemasukan ke wad pesakit yang disyaki penyakit Leptospirosis ini meningkat setiap hari. Oleh yang demikian, berikut adalah beberapa garis panduan untuk mangsa banjir dan juga sukarelawan yang bertandang ke kawasan yang berisiko dijangkiti Leptospirosis.

1. Jauhi kawasan yang berisiko menjadi punca jangkitan Leptospirosis ini. Di antaranya adalah air banjir, lumpur, air jeram dan tanah yang tercemar. Ini adalah kerana bakteria bernama Leptospirosis boleh terdapat dalam air kencing haiwan mamalia yang terjangkit seperti tikus, kucing, anjing, lembu, kambing, babi, kuda dan beberapa haiwan lain. Kita akan dijangkiti sekiranya terdedah atau bergelumang secara langsung air banjir/lumpur/tanah yang tercemar dengan air kencing tersebut. Perlu diingatkan bahawa tempoh pengeramam (inkubasi) kuman Leptospira adalah antara 5 hingga 14 hari.

2. Jika para mangsa atau sukarelawan mengalami tanda-tanda seperti berikut, sila dapatkan pemeriksaan segera dari doktor anda. Tanda-tandanya adalah demam, sakit kepala, loya, muntah, kemerahan mata, ruam kulit, sakit perut, batuk, sakit betis (urat keting), jaundis (mata kuning) dan/atau air kencing bertukar hitam (macam teh O pekat).

3. Adalah dinasihatkan para mangsa mahupun sukarelawan mengamalkan kehidupan yang bersih melalui perkara-perkara berikut:
a~Menjaga kebersihan rumah dan persekitaran,
b~Menutup hidangan makanan,
c~Membasuh tangan dengan sabun sebelum dan selepas penyediaan makanan, ketika makan dan ketika ke tandas.
d~Menggunakan apron, kasut getah (but) dan sarung tangan getah semasa menjalankan kerja-kerja pembersihan.
e~Mencuci dengan sabun tangan, kaki dan bahagian anggota badan lain sebaik sahaja menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan terlibat. Penggunaan Gel Pembersih Tangan (Hand Sanitizer) adalah digalakkan.
f~Jangan segaja ingin bermain air banjir dan lumpur.
g~Elakkan tangan terluka semasa melakukan kerja-kerja pembersihan. Jika terluka, dapatkan ubatan antiseptik, rawat dan balut luka tersebut dengan sempurna.
h~Bersegeralah berjumpa doktor jika mengalami tanda-tanda di atas.

4. Ubat pencegahan (Prophylaxis) Leptospirosis boleh diambil setelah mendapat khidmat nasihat dari pegawai perubatan. Ubat tersebut boleh diperolehi dari doktor anda.

Selamat Beramal

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
suhazeli@yamct.org.my
www.yamct.org.my
0199563653